Sabtu, Mei 16, 2009

Bestari atau Blurstari

Pekeliling kerajaan sebagai panduan pengurusan. Pekeliling kerajaan menggalakkan pengurus organisasi membuat pertukaran di kalangan para pekerja dengan tujuan-tujuan tertentu.
Pertukaran dapat membantu memperkaya dan memperluaskan tugas (job enrichment and job enlargement) kepada pegawai dan boleh menyumbang ke arah:

(i) peningkatan produktiviti seseorang pegawai dan seterusnya organisasi tempat mereka berkhidmat;
(ii) menambah serta mempelbagaikan pengalaman, pendedahan dan proses pembelajaran di kalangan pegawai terlibat yang mana proses ini amat berguna untuk kemajuan kerjaya mereka;
(iii) membendung rasa bosan bertugas di satu tempat dan menjalankan tugas yang sama dalam tempoh masa yang panjang;
(iv) memperluaskan lagi networking pegawai kerana ini dapat membantu mempermudahkan mereka melaksanakan tugas jawatan masing-masing;
(v) mencegah sebarang kemungkinan berlakunya penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah;
(vi) memberi peluang kepada pegawai diselia oleh penyelia yang berbeza supaya penilaian prestasi mereka dapat dibuat dengan lebih saksama;
(vii) membolehkan pegawai melihat organisasi di mana mereka ditempatkan dari perspektif yang berbeza dan dengan itu mereka diharap dapat mencuba pendekatan baru yang boleh mempertingkatkan lagi keberkesanan organisasi berkenaan; dan
(viii) memberi peluang kepada pegawai mendapatkan tugas yang sesuai dengan minat, kebolehan, latihan dan pengalaman mereka supaya mereka dapat mencapai penghasilan kerja yang maksimum.
Pengkhususan dan pembahagian kerja mempunyai kesan positif. Para ilmuan ekonomi selalu mengambil tindakan untuk melakukan pengkhususan dan pembahagian kerja kerana meningkatkan produktiviti dan kreativiti pekerja mereka. Namun pengkhususan dan pembahagian kerja akan menjadi negatif sekiranya sikap pekerja mula bosan dan menurun aspek minat.

Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan kata PM. Jika pengkhususan akan meningkatkan keuntungan marginal di mana aspek produktiviti meningkat dan kos semakin menurun, pada peringkat ini adalah 'bangang' bagi pihak pengurusan tidak mengamalkan pengkhususan kerja demikian.

Bagi pengurusan bestari, mereka akan memanipulasi ilmu, pengalaman dan kemahiran sumber pekerja sedia ada untuk meningkatkan produktiviti. Melalui faktor masa dan peningkatan pengalaman pekerja, kreativiti dalam aspek proses dan produk akan bertambah naik.
Tindakan pengurusan organisasi blurstari pula membuat pertukaran para pekerja tanpa memikirkan produktiviti dan keuntungan organisasi yang telah dihasilkan pada masa lepas, tetapi dibuat semata-mata alasan yang tidak menguntung kan organisasi dan hanya kerana pekeliling mengarahkan berbuat demikian serta berasaskan emosi seseorang individu, hanya akan mengundang masalah dan kerugian kepada organisasi.

Pengurusan boleh mendapatkan input dan maklumat dari pekerja bawahan (dari pembantu pejabat, kerani, kerani kanan) tentang produktiviti dan masalah pekerja semasa pengkhususan dan pembahagian kerja dilaksanakan. Namun dalam membuat keputusan, perbincangan dengan pengurusan atasan adalah penting supaya keputusan yang baik tentang keuntungan organisasi dan kebajikan pekerja dapat dibuat. Manusia ada emosi dan akal. Namun dalam membuat keputusan faktor akal lebih diutamakan dari faktor emosi.

Gambar batik-batik ini teman ambil di dinding sebuah hotel di Cheras. Cantik dan kreatif. Ini adalah hasil pengkhususan kerja yang dilakukan oleh seorang pengurus yang baik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen anda akan disemak. Terima kasih