Sabtu, Mei 16, 2009

Selamat Hari Guru

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat mengajak rakyat Malaysia untuk bersama-sama menyampaikan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada golongan pendidik di negara ini sempena sambutan Hari Guru esok.Melalui tulisan terkini dalam blog 1Malaysia.com.my, Najib merakamkan terima kasih kepada golongan pendidik yang telah mencurahkan jiwa dan raga mereka untuk membina pemikiran setiap generasi Malaysia."Saya berharap golongan yang dihormati ini akan terus berkhidmat dengan dedikasi untuk generasi-generasi yang akan datang," katanya.Beliau berpendapat golongan guru adalah antara wira yang paling terabai di negara ini, hinggakan adakalanya ditempatkan di kawasan perkampungan yang jauh di pedalaman negara."Mereka ini menghabiskan sebahagian besar daripada kehidupan mereka mengasuh dan membentuk anak-anak orang lain menjadi bakal modal insan yang akan mendorong pertumbuhan negara tercinta ini."Sering kali pula tanggungjawab mereka memerlukan pengorbanan peribadi yang kadang kala tidak diendahkan dan dihargai oleh mereka yang menerima khidmat bakti mereka," katanya.
Sehubungan itu, katanya jasa dan bakti guru tidak seharusnya hanya diingati setahun sekali, sebaliknya pengorbanan dan sumbangan mereka mesti diingati dan dihargai setiap hari."Sebagai ibu dan bapa, kita semua mahukan pendidikan yang terbaik untuk anak-anak kita dan berharap mereka akan berkembang menjadi ahli masyarakat yang berguna," katanya.Najib berkata guru bukan hanya semata-mata bertujuan mengajar pelajar membuat kira-kira tolak atau campur, atau untuk membaca dan menulis dalam pelbagai bahasa, atau pun untuk menghafal tarikh-tarikh penting dalam sejarah negara.Kehadiran mereka, kata Perdana Menteri, adalah untuk mendidik anak bangsa untuk menjadi kreatif, menjelaskan pandangan diri mereka dengan baik dan memahami peranan dan potensi diri dalam masyarakat.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen anda akan disemak. Terima kasih