Isnin, Mei 03, 2010

Kenangan SMA Batang Padang

Semalam, teman melintasi pekan Bidor untuk ke lebuhraya PLUS, teman terpandang kompleks Kediaman Guru Bidor. Teringat teman tapak kompleks tersebutlah diasaskan Sekolah Agama Daerah Batang Padang. Pada tahun 1990, teman ditugaskan di Pejabat Agama Daerah Tapah. Boss teman pada ketika itu ialah AF Tuan Qadi Mohd Zain. Pada tahun berkenaan Tuan Qadi telah mencadangkan untuk membina sebuah Sekolah Agama di Daerah Tapah. Beliau telah mengumpulkan beberapa orang penting di Tapah yang mempunyai kedudukan dan yang mampu menyumbang sesuatu di dalam rancang beliau membina sekolah itu. Seingat teman antara nama-nama yang selalu dibawa berbincang adalah Penolong Pegawai Daerah Batang Padang (En. Wan), Pegawai Penyelia Pendidikan Daerah Tapah (Tuan Syed), Pengarah Baitul Mal MAIP (En. Mat Saad) dan beberapa orang yang teman tak ingat.

Pada peringkat awal penubuhan, tapak Sekolah Menengah Agama Batang Padang telah diputuskan di satu kawasan sekolah lama yang ditinggalkan di tepi Pekan Bidor berhadapan dengan To’Kong Cina. Pada peringkat awal 2 bangunan kecil telah dibina iaitu 2 bangunan asrama. Sebuah bangunan untuk bilik darjah dan sebuah kantin dibaikpulih. 2 bangunan lama kuarters kerajaan dijadikan rumah guru (warden perempuan) dan surau pelajar.

Tenaga pengajar pada ketika permulaan ada 4 orang iaitu Ust. Zahari (Pengetua), Ust Azli (kini Ketua Pemuda PAS Perak), Ustzh. Mastura (isteri Ust. Azli) dan Ustzh Rohani (isteri teman). Sesekali teman datang membantu dari segi tenaga kerana maklumlah teman kerja dan tidak dapat mengajar anak-anak didik di situ.

Teringat teman pada hari pertama sekolah beroperasi, ibu bapa yang datang sangat berharap agar anak-anak mereka dididik dalam suasana agama yang tidak dapat ditawarkan oleh sekolah arus perdana. Seorang bapa membisik kepada teman sambil berjabat tangan sebelum mereka pulang meninggalkan sekolah dan anaknya, “Ustaz..saya serahkan anak saya kepada ustaz, buatlah seperti anak sendiri”. Begitu besar harapan mereka kepada pihak sekolah. Kebanyakan anak-anak didik tersebut datang dari kawasan FELDA seperti dari Trolak dan Besout.

Malam hari pertama kehadiran para pelajar, sekolah dalam keadaan tiada bekalan air yang cukup. Bekalan elektrik di sambung-sambung dari satu bangunan ke satu bangunan dengan cara tidak sah. Tapi berkat kesungguhan para guru dan keikhlasan para pelajar, segala kesulitan dapat ditempuh. Bila sekolah beroperasi melangkaui tahun, bilik darjah dan bilang guru kena tambah. Lembaga tadbir sekolah terpaksa mencari dana dan tenaga pengajar. Pernah satu ketika, teman bersama Tuan Qadi menyusur kampung di tepi Sungai Perak dengan Proton Saga beliau untuk mencari guru baru. Selama 4 jam perjalanan pergi balik, tetapi pulang dengan kehampaan. Begitulah sukarnya pada peringkat awal membina sekolah agama. Selepas itu, teman menyambung pelajaran. Tuan Qadi pula berpindah ke daerah lain. Dengar cerita sekolah tersebut diambil alih oleh Ust Rahim (Pegawai Dakwah JAIP Tapah). Selepas, itu, teman pun tak tau cerita berkaitan sekolah kerana kesibukan urusan di tempat baru.





Setelah 20 tahun berlalu, sekolah yang dahulunya di tepi Pekan Bidor telah dipindahkan di satu kawasan yang lebih kondusif antara Bidor dan Tapah. Bila meninjau dari kejauhan melalui blog sekolah tersebut, rasa terharu dan nostalgia lama terimbau. Pembangunan sekolah pada masa kini sangat cemerlang. Kalau dulu, semua dana dan tenaga guru dicari oleh pentadbir sekolah, kini sekolah berkenaan telah bertaraf SABK (Sekolah Agama Bantuan Kerajaan). Teman hanya dapat membantu dari kejauhan, melatih guru-guru SABK sekolah itu agar kelangsungan sekolah dan panji didikan agama terus dijunjung. Kepada Tuan Qadi, semoga usaha tuan dikira sebagai amal jariah yang berpanjangan. Maklumat lanjut sekolah di http://sabkbidor.blogspot.com/


Sekolah Harian Terbaik PMR dan SPM 2010 Daerah Batang Padang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen anda akan disemak. Terima kasih