Jumaat, Ogos 24, 2012

Masjid Sg Lancang Warisan Moyang


Pada 2 tahun lepas, emak teman pernah berpesan kepada teman serta adik beradik supaya imarahkan lah masjid kampong jika sesekali balik ke kampong kerana menurutnya ia adalah satu-satunya warisan moyang Haji Muhammad yang masih ada. 

Menurut sejarah masjid ini, Masjid Ar Rahmaniah ini didirikan pada tahun 1912 dengan diketuai oleh Tn. Hj. Muhammad bin Hj. Abd Rahman bersama orang kampong. Pada 1961, masjid ini telah dibina semula dan dibesarkan dengan diketuai oleh Tn. Hj. Abd Wahab bin Hj Ismail, Tn Hj. Husin bin Hj Abd Aziz dan Tn. Hj Sapwi bin Hj Mohd Saman dengan mendapat bantuan dari Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Pejabat Agama Negeri Perak dengan sokongan orang ramai. Itu sejarah pembangunan dan kegemilangan Masjid Sg. Lanchang, Rungkup Perak. 

Pesanan emak supaya imarahkan tersebut rupa-rupanya bersebab. Baru-baru ini, 2 hari selepas Syawal 1433, semasa menunggu solat isyak di masjid tersebut, berbual mesra di beranda masjid dengan rakan-rakan yang menetap di kampong, mereka mengemukakan isu bilangan jamaah kampong yang berkurangan. Menurut mereka, jika diharapkan orang kampong Sg Lanchang sahaja, kemungkinan nak buat solat Jumaat pun tidak cukup makmum. Ini disebabkan kebanyakan pemuda telah berhijrah ke bandar mencari rezeki dan kehidupan yang lebih baik. Menurut mereka lagi, semasa solat 5 waktu pun ada yang tidak hadir ke masjid walaupun rumah mereka berdekatan. Di samping itu, mereka juga turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tok imam masjid yang telah diberi elaun tidak melaksanakan peranan dan tanggungjawab sepenuhnya sebagai imam. Menurut mereka, tok imam ni kadang-kala ada kadang-kala tiada bertugas terutama solat subuh. Untuk dilantik imam baru, tiada pelapis dan pengganti. Malah AJK masjid pun telah lama tidak bermesyuarat. Menurut sumber dari Ahli Mesyuarat Majlis Agama Islam Perak, mesyuarat pengesahan AJK masjid bagi seluruh negeri Perak belum dijalankan.  Di mana silapnya, teman pun tak tahu. Jabatan Agama Islam Perak sibuk atau pengerusi mesyuaratnya sibuk kot.

Bagi teman, setiap anak Sg. Lanchang di kampong atau di perantauan yang merasakan pentingnya peranan masjid Ar Rahmaniah demi kelangsungan fungsi sosial, ekonomi, pendidikan dan rohani, mari lah kita sama-sama mengimarahkan masjid kita. Jika kita masih diberi tenaga oleh Allah, kita bantu masjid kita supaya bertambah ceria dan bersih. Jika kita masih diberikan masa, kita turun ke masjid meramaikan jamaah, jika kita diberikan kelebihan harta, kita infak (derma) untuk pembangunan masjid.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen anda akan disemak. Terima kasih