Jumaat, November 23, 2012

Skrip Sitcom Pi Mai Pi Mai Tang Tu


Bersama  Jefri Talib Penulis Skrip
Pi Mai Pi Mai Tang Tu
Teman memang peminat sitcom tv Pi Mai Pi Mai Tang Tu. Sitcom ini bukan sahaja menjadi trademark malah telah menjadi benchmark untuk mengukur kejayaan karya sesebuah sitkom di negara ini (The Star 20 Ogos 2008). Sitkom ini masih memegang rekod sebagai sitkom televisyen paling lama disiarkan di tv dalam negara ini, iaitu selama 15 tahun (1984-1999). 

Baru-baru ini teman berpeluang bersembang-sembang dalam Kursus Penulisan Skrip Drama TV dengan penulis skrip sitcom Encik Jefry Talib, seorang penulis skrip dan pengarah sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu dan “2+1″ yang juga pensyarah sambilan di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan, Malaysia (ASWARA). 

Hasil sembang teman, rupa-rupanya tanggapan teman terhadap sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu adalah salah dan meleset. Teman beranggapan seperti orang lain iaitu sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu sebagai sebuah persembahan secara improvatif, iaitu tidak mempunyai skrip. Pihak pengarahan hanya memberi cerita pokok dan para pelakonnya mereka-reka sendiri lakonan dan dialog secara spontan. Rupa-rupanya pandangan tersebut adalah salah dan meleset. 

Naskah Skrip Pi Mai Pi Mai Tang Tu
Kejayaan dan kekuatan sitkom ini adalah terletak skripnya. Penulis skrip awal sitcom ini, Hatta Azab Khan telah berjaya mengungkap sebuah kisah benar sekumpulan masyarakat yang hidup di pinggir kota raya yang ingin bersaing dengan masyarakat kota yang lain. Walaupun senario biasa namun kerana skrip yang luar biasa telah menjadi salah satu faktor utama kejayaan siri sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu. Kemudian skrip sitkom ini turut ditulis oleh beberapa orang penulis lain yang juga mempunyai keupayaan bakat untuk menggarapkan isu-isu yang berkait rapat keadaan semasa seperti Adibah Amin, Zakaria Ariffin, Johan Jaafar, Sujiah Salleh, Zulkefli Said dan Jefri Talib sendiri. 

Tidak dinafikan, faktor lain kejayaan sitkom ini ialah kerana para pelakonnya yang berbakat, serius dalam melakukan latihan dan perhubungan sesama mereka mempunyai chemistry. Sebelum mengadakan sesuatu persembahan, mereka mengadakan latihan dengan begitu serius dan berterusan. Sehingga kini tidak ada pengganti bagi artis seperti Zami Ismail, Sabri Yunus, Imuda, Khatijah Tan, Ahmad Busu, Sathia dan Angeline Tan, Syahrizat Ahmad (Abon) dan Sulaiman Yassin (Mat Over).

Teman membuat refleksi tentang subjek yang teman ajar Kursus Teknologi Pengajaran berkaitan dengan tajuk penghasilan bahan video dan audio. Penyediaan story board dan skrip amat penting dalam penghasilan sesuatu karya dalam bentuk rakaman atau   'live'. Sdra Jefri  Talib telah meneroka kejayaan dalam bidang ini  penulisan skrip dan pengarahan Pi Mai Pi Mai Tang Tu semasa berumur 25 tahun. Kejayaan dan kecemerlangan yang telah beliau tempa perlu ada pelapis. Oleh itu, kemahiran ini perlu diperturunkan supaya dapat melahirkan, membentuk dan memperkayakan tenaga profesional yang mampu menulis skrip yang dapat menyampaikan mesej dengan berkesan. Pra syarat kejayaan adalah minat dan  kesungguhan.

.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen anda akan disemak. Terima kasih