Ahad, September 22, 2013

Tips Temuduga Biasiswa

Ramai calon temuduga biasiswa PhD berharap mereka memperoleh tajaan untuk meneruskan pembelajaran mereka terutama dalam kalangan para pendidik di sekolah. Namun, kebanyakan mereka gagal mendapatkan kepercayaan pihak penaja untuk membiaya pengajian mereka walaupun telah hadir ke sesi temuduga sampai 9 kali.

Apakah faktor kegagalan mereka? Apa yang teman perhatikan, ada beberapa aspek yang perlu para calon mempersiapkan diri sebelum hadir ke sesi temuduga. Panel akan melihat dan menilai dari aspek kesediaan diri dan inisiatif calon tersebut untuk bergelar pelajar PhD. Oleh itu, calon  perlu bersedia dengan kertas cadangan (proposal) kajian yang lengkap dengan masalah kajian dan tujuan kajian, kerangka teori, metodologi kajian, cadangan analisis data yang sistematik dan lengkap, tinjauan literatur dan rujukan yang telah dibuat mengikut format APA.

Di samping itu, pengetahuan calon tentang bidang yang dipohon akan dinilai. Calon bukan sahaja ditanya tentang bidang tersebut malah turut diuji tentang teori-teori yang berkaitan bidang kajian. Calon harus bijak menghubung kait teori dan isu semasa serta bidang tugas sekarang. Dengan kata lain, calon dapat berhujah tentang tesis kajian dari sudut keperluan masa kini dan masa hadapan.

Calon perlu mengemukakan bukti pengalaman dalam bidang, kelulusan akademik dan kelulusan tambahan yang berkaitan bidang yang dipohon. Dengan bukti yang kukuh serta dokumen sokongan yang teratur, menjadi faktor pemangkin untuk dipilih sebagai calon pilihan.

Di samping itu, calon yang hadir perlu menunjukkan jasa dan sumbangan mereka kepada perkhidmatan pendidikan sama ada di dalam mahupun di luar sekolah. Bukti dan dokumen sokongan amat penting bagi para calon untuk berhujah di hadapan para panel. Calon digalakkan menunjukkan bukti penulisan yang pernah dibuat sama ada di peringkat sekolah, daerah, negeri, kementerian, kebangsaaan mahupun antarabangsa.

Inisiatif mendaftar diri sebagai pelajar PhD persendirian tanpa tajaan di mana-mana universiti adalah amat digalakkan. Faktor ini menunjukkan calon telah bersedia dan telah memulakan pembelajaran. Oleh itu, para calon amat digalakkan mendaftar diri. Jika mereka gagal mendapat tajaan pun, perjuangan di bidang keilmuan tetap diteruskan dan berjalan. Tajaan bukan segala-galanya dalam penerusan pembelajaran.
Baca selanjutnya ...