Khamis, Januari 02, 2014

Menjejaki Lokasi Penurunan Wahyu Pertama 'Iqrak' di Gua Hirak

Jumaat 20 Disember 2013 tepat pukul 9 malam, pendaki yang telah mendaftar diri untuk mendaki Jabal Nur di kehendaki berkumpul di lobi Hotel Hira', Mekah. Seramai lebih kurang 20 orang telah nekad untuk melihat sendiri tempat yang penuh sejarah di mana wahyu pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad melalui Jibrail. Untuk mendaki ke jabal ini dikehendaki membuat bayaran 25 Riyal. Teman bersama anak teman yang berumur 16 tahun telah mendaftar untuk ke puncak bukit tersebut bagi menyelami keperitan rasulullah mendaki bukit tersebut.

Perjalanan dari hotel kami ke Jabal Nur mengambil masa lebih kurang 20 minit. Sampai di kawasan bukit tersebut, van sedia menunggu untuk ke kaki bukit berkenaan. Menaiki van tersebut seperti roller coaster kerana pemandu yang membawa kami memacu dengan laju dalam keadaan jalan yang sempit dan bercerun lebih kurang 30 darjah kecuramannya serta dalam keadaan malam yang gelap. 

Pada malam tersebut, tiada rombongan lain yang datang kecuali kumpulan kami sahaja. Alhamdulillah, ini mungkin kerana kami adalah rombongan umrah yang dikira terawal mendapat Visa setelah tamat musim haji. Oleh itu, untuk memanjat ke bukit tersebut, amat selesa dari kesesakan pelawat-pelawat.

Pemandangan dari pertengahan bukit
Pendakian mengambil masa 45 minit hingga satu jam mengikut tenaga dan kekuatan fizikal individu. Bagi teman yang agak berumur mungkin mengambil masa hampir satu jam. Dalam pendakian teman pada malam itu yang bermula jam 10.30 malam telah diterangi oleh cahaya bulan. Berbekalkan sebotol air mineral teman membuat tekad untuk ke puncak bukit tersebut bersama anak teruna teman. Kami membuat pendakian pada waktu malam untuk mengelakkan cuaca panas dan orang ramai.

Lagi 115 meter ke Gua
Setelah mendaki 15 minit, teman rasa lutut dah bergoyang, badan rasa nak tumbang. Inilah bahana kurang bersenam dan berjoging. Lantas teman duduk sebentar. Bila teman bertanya kepada anak teruna teman tu sama ada letih, beliau dengan selamba menyatakan tidak. Begitu lah perbezaan antara tenaga orang muda dan orang seusia teman. Walaupun lutut bergoncang, semangat masih kental mahu ke puncak. Dalam keletihan ini menyebabkan teman terlintas dalam fikiran bagaimana nabi dan isterinya Khadijah mendaki ke bukit ini yang terletak 2 batu dari Mekah ini. Sudah tentu mereka bukan orang yang calang-calang gagahnya dan tidak lemah fizikal dan mental. Waktu nabi menerima wahyu pertama (Malam 17 Ramadan - 10 Ogos, 610 M) pada umur 40 tahun 6 bulan 12 hari, Siti Khadijah telah berumur 55 tahun, tetapi mampu mendaki bukit tersebut untuk menghantar makanan kepada kekasih hatinya itu. Hmm.. (Sekarang bukit tersebut ada lebih kurang 600 anak tangga. Dibuat untuk memudahkan pengunjung..kalau tiada anak-anak tangga tersebut, mungkin memakan masa yang lebih lama untuk sampai ke gua yang setinggi 270 meter = 890 kaki). Kalau seorang lelaki, bukit semacam itu pun dah mengalah, teman rasa le sukar nak membawa satu misi yang besar.

Persediaan yang perlu untuk mendaki adalah: Untuk keselamatan kaki, selipar pun ok, tetapi kalu selipar putus, memang naya. Lebih baik guna kasut joging supaya lebih selesa dan selamat. Baju tebal pun tak perlu kerana panas apabila berpeluh semasa mendaki. Bawa la air minum secukupnya dan air untuk berwudhu, itu pun kalu berhajat hendak solat sunat di gua Hira atau dipuncak bukit. Jika ada lampu picit, elok la dibawa supaya dapat menyuluh anak tangga dan pintu gua. Walau pun nama Jabal Nur tapi kalau tiada cahaya bulan, merbahaya juga jika mendaki waktu malam.

Alhamdulillah. Dengan kesungguhan dan demi kecintaan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, jam 11.15 malam sampai juga teman di puncak. Peluh menitis, air mineral habis sebotol ketika dipuncak bagaikan hilang rasa penat apabila destinasi yang diimpikan telah tercapai. Moga Gua Hira bukti kecintaan teman kepada Rasulullah s.a.w. 

Di Puncak Jabal Nur Yang Menghadap Clock Tower Mekah

Laluan Sempit untuk ke Gua Hirak
Gua Hirak yang seluas satu sejadah

Lubang gua yang terus ke arah Kiblat di Mekah
Sesampai di Gua Hirak, teman sempat bersolat hajat dan bersujud syukur serta membuat refleksi dan muhasabah tentang jerih perit mendaki bukit tersebut. Kekaguman teman kepada kekuatan dan saiz badan rasulullah untuk sampai ke gua berkenaan. Kenapa teman kata saiz badan… kerana untuk ke gua tersebut, jika orang yang bersaiz ‘Big Show’ mungkin sukar untuk sampai ke gua berkenaan kerana harus melepasi dan melalui satu lubang yang agak sempit. Rasulullah s.a.w yang sebelum mendapat wahyu telah bertahanuth di gua yang memerlukan kekuatan fizikal, mental dan spritual. Pertemuannya dengan Jibrail di Gua Hirak ini bagi menjadi titik mula penyampaian risalah suci dengan perkataan mulia iaitu ‘Iqrak’. Bermula dari gua inilah risalah Islam disebar sehingga teman beriman kepada Allah s.w.t dan berterusan sehingga hari kiamat nanti.

1 ulasan:

  1. Alhamdulillah. Tahniah. Lepas ni, Insya Allah saya nak naik. Semoga Allah taqdirkan utk saya

    BalasPadam

Komen anda akan disemak. Terima kasih